Wednesday, August 3, 2011

sabar...tangani sifat benci...:)

Ramai juga orang yang gagal dalam pergaulan kerana menyimpan perasaan BENCI dalam hati mereka. Tuhan itu maha adil. Perasaan benci dalam diri kita akan menyebabkan ramai orang mudah benci terhadap kita. Misalnya, orang yang membenci ibu bapanya mungkin akan dibenci oleh rakan-rakannya. Orang yang membenci jirannya atau bekas kekasihnya mungkin akan dapat kebencian daripada rakan sekerjanya atau malahan ketua jabatannya...

Justeru hapuskanlah segala perasaan benci daripada hati kita agar kita mudah menjalin hubungan dengan orang lain.

Kaedah Mengikis Benci

Cara yang terbaik untuk mengikis benci ialah dengan memaafkan semua orang sebelum tidur malam. Jika setiap malam sebelum tidur kita sentiasa mencuci muka, memberus gigi, membersihkan diri dan mengibas tempattidur, tidak bolehkah kita mencuci hati kita denganmemaafkan semua orang sebelum tidur? Pengalaman secara peribadi penulis menunjukkan bahawa dengan memaafkan semua orang sebelum tidur, kita akan dapat membersihkan hati serta menenangkan fikiran dan mudah menjalin hubungan baik dengan orang lain.

Faktor-faktor Yang Boleh Merangsang Kehebatan Dalam Pergaulan

Antara faktor yang menyebabkan kita mudah berinteraksi dengan orang lain dan orang lain mudah tertarik kepada kita ialah:

1) Jaga solat dan lakukan ibadah-ibadah khusus dan umum yang lain.

2) Sentiasa bersangka baik terhadap semua orang (walaupun kita perlu berwaspada setiap masa).

3) Sentiasa memberikan senyuman ikhlas kepada orang di sekeliling kita.

4) Banyakkan bersedekah, samada dalam bentuk wang, senyuman, bantuan tenaga, masa, nasihat, idea, pandangan, sokongan moral dan doa yang berterusan.

5) Sentiasa memperbanyakkan sabar. Nabi s. a. w. pernah berpesan supaya mencari 144 sebab sebelum kita memarahi orang.

6) Sentiasa ceria apabila berjumpa dengan orang lain. Pastikan setiap orang seronok berinteraksi dengan kita.

7) Pamerkan perasaan sayang dan sentiasa sayang-menyayangi antara satu dengan yang lain. Bentuk dan pamerkan sahsiah yang positif setiap masa. Peribadi yang kurang sopan akan menyebabkan orang lain rasa mual terhadap kita.

9) Amalkan sunnah-sunnah harian setiap masa dan insyaAllah orang lain akan tertarik kepada kita.

10) Jika wujud sebarang perasaan sombong atau benci terhadap orang lain, terus ingatkan diri kita tentang mati. Kita mudah insaf dan balik ke pangkal jalan apabila mengingati mati.

11) Sentiasa syukur dan redha atas pemberian Allah swt.

12) Sentiasa memberi salam dan ucap selamat kepada orang lain. Pemberian salam akan mengukuhkan hubungan sesama manusia.

13) Pamerkan simpati kepada setiap individu-individu yang memerlukan simpati dan perhatian.

14) Jadilah pendengar dan kawan yang setia.

15) Sampaikan berita baik tentang orang lain dan sembunyikan kelemahan atau keburukan orang lain.

16) Sentiasalah bermaaf-maafan sebelum berpisah dengan seseorang dan iringi perpisahan dengan doa.

Terlebih dahulu baiki diri untuk menarik perhatian orang lain terhadap diri kita, kita perlu terlebih dahulu menyayangi dan memperbaiki diri kita....

hari ke-3 berbuka...:)

hari ini 3/8/2011, genap 3 ari ak brpuasa......
alhamdulillah, ak dpt mnjalankn ibadah puasa dgn begitu baik tanpa ada gangguan...
ni la hikmahnye klu kite di didik n di asuh dri kecik lg untuk berpuasa....thanks my parents...:)

ok, menu brbuka untuk hari pertama puasa ialah;
nasi putih + ayam bakar n air sirap...:)....
hari pertama brbuka amat mnyedihkan kerana xtau ape nk mkn...smua mknan kat cni xkene nga selera ak....dgn kuih muih nye xde....adoyai....
bazaar ramadhan plak xsemeriah bazaar rmadhan kt kota bharu...tp xpela, ni la pngalaman kn....lain tmpat, lain la situasinye...hehehe..(xsbr nk blik brbuka di kelate....huhu)

menu berbuka hari ke-2 ;
nasi putih + tomyam cendawan + telur dadar n air fresh oren...
manu hari kedua ni agk menarik...n alhamdulillah, ak kenyang...hehehe...
hari kedua ni ak brbuka kt kedai, siap tempah meja lg...:)

menu berbuka hari ke-3 ;
nasi putih + tomyam campur + telur dadar n air teh o beng gelas besar...hehehe
hari ke-3 ni cm sme nga hri ke -2 kn.....asyim tomyam je....
xpe, esk kite order la benda lain plak k...huhuhu..

Tuesday, August 2, 2011

hari ke-3 bersahur..

bersyukur kpd ALLAH kerana mmberi lg peluang kpd ak untuk merasai nikmat di bulan ramadhan...
masuk ni da pgi ke-3 ak brsahur....menu pgi ni = sardin+ telur dadar+ nasi putih + air teh o beng...
menu hari prtama n kedua brsahur = telur mata + nasi putih...hehehe

harapan ramadhan kali ni : harap dapat mencari keredhaan dri ALLAH s.w.t...dan hope ramadhan kali ni lbih baik dr ramadhan yg lps n lbih brmakna...:)

ramadah menjelma lagi.....:)

"Ramadhan bulan yang penuh keberkatan. Di awalnya rahmat, di tengah-tengahnya maghfirah dan di hujungnya kebebasan dari api Neraka".

Gembiranya hati tidak terkira kerana masih berpeluang menyambut bulan Ramadhan yang mulia ini. Terima kasih Ya Allah, kerana masih memberi kesempatan untuk diri ini bersama-sama mengapai rahmat dan redha-MU dalam menggandakan pahala di bulan yang mulia ini untuk menuju Syurga-MU.

Rasullullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda:
"Sesungguhnya Syurga itu mempunyai sebuah pintu, disebut 'Rayyan'. Akan diseru pada hari kiamat: "Mana orang yang berpuasa?" Lalu bila orang yang terakhir dari mereka telah masuk, maka pintu itupun ditutup". [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Ya Allah, diri ini tidak sabar-sabar untuk bertemu dengan-MU, sesungguhnya rindu ini semakin memuncak, bila tibanya bulan yang penuh keberkatan ini, apatah lagi bagi orang yang berpuasa semata-mata kerana-MU akan dikurniakan syafaat.

Rasullullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda: "Dan orang yang berpuasa itu beroleh dua kegembiraan yang menyenangkan hati: di
kala berbuka, ia akan bergembira dengan berbuka itu, dan di saat ia menemui tuhannya nanti, ia akan gembira kerana puasanya."
[Hadis Riwayat Ahmad, Muslim dan An-Nisa'i]

"Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat bagi hamba, pada Hari Kiamat. Berkata puasa pada Hari Kiamat: "Ya Tuhan, Engkau larang ia makan dan memuaskan syahwat di waktu siang, dan sekarang ia meminta syafaat padaku kerana itu" Dan berkata pula al-Quran: "Engkau larang ia tidur di waktu malam, sekarang ia meminta syafaat padaku mengenai itu." Maka syafaat kedua merekapun diterima oleh Allah." [Hadis Riwayat Ahmad]

"Barangsiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampuni dosa-dosanya yang terdahulu." [Hadis Riwayat Ahmad dan Ashabussunan]

Sesungguhnya puasa itu banyak hikmah dan faedahnya.

Antara hikmah dan faedah puasa ialah:

i. Boleh menyedarkan hati orang yang beriman bahawa dirinya di bawah
perhatian Allah.

ii. Bulan Ramadhan adalah bulan suci antara semua bulan dalam setahun.

iii. Allah menghendaki semua hamba-Nya memenuhi bulan tersebut dengan
amalan ketaatan dan taqarrub kepada-Nya.

iv. Kekenyangan yang berterusan dalam kehidupan seseorang akan
memenuhi dan menyuburkan jiwanya dengan sifat-sifat keras hati dan
keterlalulan.

v. Membangunkan masyarakat Islam dengan sifat kasih sayang dan prihatin.

Thursday, November 25, 2010

Jangan Ditangisi Apa yang Bukan Milikmu

Dalam perjalanan hidup ini seringkali kita merasa kecewa. Kecewa sekali. Sesuatu yang luput dari genggaman, keinginan yang tidak tercapai dan kenyataan yang tidak sesuai dengan harapan.

Dan sungguh sangat beruntung andai dalam saat-saat tergoncangnya jiwa, masih ada setitik cahaya dalam kalbu untuk merenungi kebenaran. Masih ada kekuatan untuk melangkahkan kaki menuju majlis-majlis ilmu dan majlis-majlis zikir yang akan memberikan ketenteraman jiwa.

Hidup ini ibarat belantara. Tempat kita mengejar pelbagai keinginan dan impian. Dan memang manusia diciptakan mempunyai kehendak serta mempunyai keinginan. Tetapi bukan semua yang kita inginkan dapat dicapai. Sesungguhnya tidak mudah menyedari bahawa apa yang bukan menjadi hak kita tak perlu kita tangisi. Banyak orang yang tidak sedar bahawa hidup ini tidak punya satu hukum: harus berjaya, harus bahagia atau harus-harus yang lain.

Betapa banyak orang yang berjaya tetapi lupa bahawa hakikatnya semua itu pemberian Allah sehingga membuatnya sombong dan bertindak sewenang-wenangnya. Begitu juga kegagalan sering tidak dihadapi dengan betul. Padahal dimensi tauhid dari kegagalan adalah tidak tercapainya apa yang memang bukan hak kita. Padahal hakikat kegagalan adalah tidak terengkuhnya apa yang memang bukan hak kita.

Apa yang memang menjadi milik kita di dunia, samada rezeki, jawatan atau kedudukan, pasti Allah akan berikan. Tetapi apa yang memang bukan milik kita, kita tidak akan mampu miliki; walaupun ia nyaris menghampiri kita atau meskipun kita bermati-matian berusaha mendapatkannya.

"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.." (Surah Al-Hadid: 22-23)

Maka sudahlah, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu!

terang mlm kerna bulan...

Seorang suami pernah meluahkan rasa hatinya kepada saya. Yakni tentang gangguan perasaan yang dialaminya. Dia diusik kenangan lama apabila bertemu dengan bekas kekasihnya semula. Entah kenapa perasaan cinta mereka seakan berputik kembali.

"Kami terlalu cinta. Malangnya kami tidak ada jodoh. Kami terpaksa berpisah dan kemudiannya menemui jodoh masing-masing."

Dia mengadu setelah hampir sepuluh tahun, tidak sangka hatinya masih berbunga cinta. Dan ajaibnya cinta, ia tidak mengenal usia. Sedangkan kini dia sudah punya dua orang anak dan bekas kekasihnya pun ada seorang anak. Masing-masing sudah punya keluarga.

"Apa masalahnya?" tanya saya seperti sukar memahaminya.

Dia kemudian mengakuinya bahawa bekas kekasihnya pun rupa-rupanya juga masih mencintainya.

Cinta bukan Tuhan, itulah jawapan pendek yang saya berikan padanya. Saya tegaskan tidak semua kehendak cinta mesti kita patuhi. Bila cinta melanggar batas-batas rasional, nilai-nilai kemanusiaan dan yang paling utama melanggar syariat, kehendaknya mesti dihentikan.

Saya ingatkan kepadanya, pertimbangkanlah bagaimana nasib isteri dan anak-anaknya nanti jika kehendak cinta yang "gila" itu dipenuhi. Pergi memburu cinta yang tidak pasti, lalu meninggalkan anak-anak dan isteri yang diamanahkan Allah... Berbaloikah?

Dan yang paling utama, bagaimana pula hukum Allah yang akan dilanggar jika hubungan terlarang (haram) itu diteruskan?

Mencinta isteri dan suami orang adalah haram. Curang itu khianat. Khianat itu adalah antara ciri kemunafikan.

Ya, cinta memang buta, tetapi orang yang bercinta (lebih-lebih lagi orang beriman) jangan pula sampai buta mata hati untuk mengawal dan mengendalikan rasa cinta. Demi cinta sanggup berdosa? Demi cinta sanggup menempah neraka? Fikir dan zikirkanlah (ingatkanlah)!

Malangnya, begitulah realitinya kini. Cinta dimartabatkan terlalu agung dan disanjung membumbung... Demi cinta segala-galanya berani diterjah dan sanggup diredah. Tidak percaya? Bacalah masalah-masalah masyarakat yang dipaparkan di dada akhbar atau majalah. Isteri jatuh cinta pada suami orang. Suami jatuh cinta kepada wanita lain dan rela meminggirkan isteri sendiri. Bila ditanya kenapa? Kebanyakannya menjawab, "apa boleh buat, kami sudah jatuh cinta!"

Inilah gara-gara dan bahananya menonton filem cinta versi Bollywood, Hollywood atau filem-filem "yang sewaktu dengannya". Inilah impak lagu-lagu cinta yang menyumbat telinga dan menyempitkan jiwa. Secara tidak sedar filem-filem dan lagu-lagu itu telah menawan "akal bawah sedar" sesetengah masyarakat, bukan sahaja remaja, bahkan "retua" hingga sanggup menobatkan cinta sebagai Tuhan dalam kehidupan.

Lihat sahaja bagaimana hero dan heroin dalam filem-filem tersebut sanggup melepasi apa jua halangan demi penyatuan cinta mereka. Pengorbanan demi cinta disanjung dan dipuja walaupun jelas melanggar tatasusila dalam beragama. Kerap kali ibu-bapa dipinggirkan, kononnya kerana menghalang kehendak cinta. Apa sahaja plot dan klimaks cerita, cinta akan dimenangkan. Seolah-olah tujuan hidup manusia hanya semata-mata untuk cinta!

Mari kita renung sejenak. Cuba tanyakan siapakah yang mengurniakan rasa cinta di dalam hati setiap manusia? Tentu sahaja jawabnya ialah Allah. Allah mencipta manusia, hati, akal dan perasaannya. Cinta itu fitrah yang dikurniakan Allah pada setiap hati. Lalu kita tanyakan lagi untuk apakah Allah berikan naluri cinta ini?

Untuk Apa Manusia Diciptakan?

Untuk mengetahui apa tujuan cinta kita perlu kembali kepada persoalan asas, untuk apa manusia dijadikan? Ini adalah kerana semua yang diberikan Allah kepada manusia adalah untuk memudahkan manusia menjalankan tujuan ia diciptakan oleh Allah. Apakah tujuan Allah menciptakan manusia? Tidak lain, hanya untuk menjadi hamba Allah dan khalifah di muka bumi ini.

Ini ditegaskan sendiri oleh Allah melalui firman-Nya:

"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menjadi hamba (beribadah) kepada-Ku." (Surah Al Dhariyat, 51: 56)

Dan Allah menegaskan lagi:

"Kami jadikan di muka bumi manusia sebagai khalifah."

Dua tujuan penciptaan manusia ini adalah amanah yang sangat berat. Allah menegaskan lagi:

"Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, namun semuanya enggan memikul amanat itu kerana mereka khuatir mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu tersangat zalim dan jahil." (Surah Al Ahzab, 72)

Sebagai hamba Allah, manusia perlu mengabdikan dirinya kepada Allah setiap masa, ketika dan di mana sahaja. Ia perlu menjadi manusia yang baik melalui ibadah-ibadah fardu Ain yang diwajibkan secara personel oleh Allah ke atas dirinya. Dan sebagai khalifah di muka bumi, manusia perlu mengurus, mentadbir dan memakmurkan muka bumi ini berpandukan hukum-hakam Allah s.w.t. Ini adalah tanggung-jawab yang berat dan memerlukan penyertaan orang lain bersama-sama untuk dilaksanakan. Kebanyakannya amalan berbentuk fardu kifayah ini memerlukan tenaga jemaah.

Allah swt Maha Mengetahui akan kelemahan manusia. Dua tujuan yang besar penciptaan manusia itu tidak boleh dipikul secara bersendirian. Justeru, awal-awal lagi manusia wujud secara "co-existance" (ujud secara bersama). Kebersamaan ini sangat perlu untuk memberi kekuatan bagi memikul tujuan hidup yang sangat besar dan berat itu. Dan titik awal perpaduan antara seorang manusia dengan seorang manusia yang lain ialah hubungan suami-isteri yang membentuk sebuah keluarga.

Keluarga adalah nukleus yang pertama dalam hubungan sesama manusia. Daripada sebuah keluarga terbentuklah masyarakat, daripada penyatuan masyarakat terbentuklah daerah, negeri, negara dan akhirnya dunia kehidupan yang lebih besar dan luas. Lihatlah bagaimana segala bentuk perhubungan itu semuanya berasal daripada hubungan seorang lelaki (suami) dan seorang wanita (isteri).

Maha suci Allah yang menyatukan manusia dalam pakej-pakej perhubungan yang bernama keluarga, masyarakat, daerah, negeri, negara dan dunia antarabangsa. Semua itu untuk apa?

Ya, untuk bersatu bagi menjalankan peranan mereka sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi. Tugas yang berat dan mencabar itu akan terasa lebih mudah jika dipikul bersama-sama. Tanpa hubungan dan bantuan daripada orang lain, manusia tidak akan terpikul amanah yang besar itu.

Sesungguhnya, untuk memulakan tapak asas atau benih permulaan hubungan antara manusia dengan manusia itulah Allah ciptakan rasa cinta. Allah datangkan rasa rindu, sepi dan inginkan teman di dalam hati Nabi Adam. Pada hal Nabi Adam tinggal di syurga – tempat terhimpunnya segala nikmat dan keindahan.

Namun, tanpa seorang "teman wanita", Nabi Adam masih terasa kesepian jua. Allah jugalah yang mengurniakan rasa itu, untuk menjadi sebab terbentuk hubungan suami-isteri yang kemudiannya menjadi sebab pula lahirlah zuriat demi zuriat yang melahirkan generasi manusia.

Dan kemudian datanglah musim ujian. Cinta mereka berdua terpisah ketika "tercampak" ke alam dunia. Setelah sekian lama cinta mereka terpisah (sebagai kafarah satu kesalahan), akhirnya mereka bertemu di padang Arafah. Dan dari situlah bergabunglah jiwa, minda, perasaan dan tenaga mereka berdua untuk menjalankan peranan sebagai hamba Allah dan khalifah di dunia.

Cinta Hanya Jalan, Bukan Tujuan

Cinta itu bukan tujuan... Cinta itu hanya jalan. Cinta itu bukan matlamat, cinta itu cuma alat. Rasa ingin mencintai dan dicintai dalam diri setiap manusia pada hakikatnya adalah untuk membolehkan manusia melaksanakan tujuan ia diciptakan. Cinta itu mengikat hati antara lelaki dengan wanita untuk sama-sama membentuk ikatan perkahwinan demi menyempurnakan agama. Justeru kerana itulah Rasulullah s.a.w telah bersabda:
"Barang siapa yang berkahwin maka sempurnalah separuh agamanya, tinggal separuh lagi untuk dilaksanakan."

Cinta memang penting, tetapi ibadah dan menegakkan hukum Allah jauh lebih penting. Sayangnya, hakikat ini sangat jarang difahami dan dihayati oleh orang yang bercinta. Tujuan cinta sering dipinggirkan. Ibadah dan hukum Allah yang tinggi dan suci telah dipinggirkan hanya kerana cinta. Kononnya, cinta itu sangat suci dan tinggi.

Mungkin rasa seperti itulah yang berbunga di dalam jiwa si suami yang diimbau nostalgia cinta lama oleh bekas kekasihnya yang saya sebut pada awal tulisan ini. Kerana cinta, terdetik dalam hatinya untuk bersama bekas kekasih walaupun terpaksa mengorbankan anak dan isterinya. Mungkin rasa cinta itulah juga yang menyebabkan ramai wanita mengorbankan kehormatan diri kepada kekasih hati demi membuktikan ketulusan cintanya. Mungkin kerana itulah juga seorang anak sanggup berpisah dengan ibu-bapanya demi memburu cinta.

Bertuhankan cinta samalah bertuhankan hawa nafsu. Bila tujuan suci dan hakiki dipinggirkan, timbullah tujuan keji dan ilusi sebagai ganti. Sering terjadi nafsu seks dijadikan tujuan di sebalik rasa cinta. Cinta yang berbaur dengan kehendak seks inilah yang pernah dikecam oleh Al Farabi dengan katanya:

"Cinta yang berlandaskan nafsu seks adalah cinta yang diilhamkan oleh Tuhan kepada haiwan!"

Ironinya, ada yang berkata, "lelaki memberi cinta untuk mendapatkan seks. Wanita memberi seks untuk mendapatkan cinta."

Eksploitasi dan manipulasi cinta ini tidak akan memberi kebahagiaan kepada sesiapa – baik kepada lelaki mahupun kepada wanita. Lelaki yang mendapat seks dengan memperalatkan cinta, tidak akan pernah puas. Kehendak nafsu tidak terbatas dan tidak akan pernah puas. Melayani nafsu, umpama minum air laut... semakin diminum, semakin haus.

Manakala wanita yang memberi seks, kononnya untuk mendapat cinta, tidak akan mendapat cinta yang sejati. Mereka hanya akan menemui kasanova dan lelaki hidung belang yang hanya cinta sebelum dapat apa yang diidamkan, tetapi tunggulah sebaik sahaja habis manis sepahnya dibuang. Wanita-wanita malang ini bukan hanya kehilangan cinta, tetapi hilang maruah, kehormatan dan harga diri.

Letakkanlah cinta sebagai alat untuk beribadah kepada Allah. Wujudkanlah rumah tangga bahagia yang menjadi wadah tertegaknya kalimah Allah.

SYURGA RUMAHTANGGA

Binalah rumah-tangga di tapak iman
Tuluskan niat luruskanlah matlamat
Suami pemimpin arah tujuan
Isteri pembantu sepanjang jalan
Lalu mulakanlah kembara berdua
Kerana dan untuk... Allah jua

Di tapak iman dirikanlah hukum Tuhan
Iman itu tujuan Islam itu jalan
tempat merujuk segala kekusutan
tempat mencari semua penyelesaian
rumah jadi sambungan madrasah
berputiklah mawaddah...
berbuahlah rahmah

Inilah kunci kebahagiaan rumah-tangga
setia dan penyayang seorang suami
cinta dan kasih seorang isteri
Lalu berbuahlah mahmudah demi mahmudah
lahirlah zuriat yang soleh dan solehah!

Saturday, November 13, 2010

Biarkan Cintamu Berkata Tidak!

Kerap diungkapkan, cinta itu buta?Apakah benar cinta itu buta? Apakah cinta orang beriman juga buta? Kalau buta yang dimaksudkan itu tidak mampu lagi melihat mana yang hak, yang mana batil, tentulah cinta orang yang beriman tidak buta.

Tidak! Cinta yang suci tidak buta. Orang beriman tetap celik walaupun sedang dilamun bercinta. Mereka masih tahu dan mampu melihat serta menilai yang mana baik, yang mana buruk, yang mana halal dan yang mana haram sewaktu bercinta.

Namun sekiranya buta yang dimaksudkan tidak nampak lagi segala kesusahan demi mendekatkan diri kepada yang dicintainya (Allah)... ya, cinta orang beriman memang buta. Orang yang beriman tidak nampak lagi ranjau duri untuk mendekatkan diri kepada Ilahi.

Pernah Sayidina Abu Bakar r.a. pernah berkata kepada anaknya, "jika aku menemui mu dalam perang Badar dahulu, aku sedikit pun tidak teragak-agak untuk membunuh mu!"

Mus'ab bin Umair pula pernah berkata kepada ibunya, "jika ibu punya 100 nyawa dan nyawa itu keluar satu persatu, saya tidak akan meninggalkan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad."

Ya, cinta orang beriman itu buta. Tetapi bukan buta melulu. Yang buta melulu hanyalah cinta orang yang lemah iman. Cinta itu telah dikotori oleh kehendak nafsu dan bujukan syaitan. Apa sahaja yang disuruh oleh nafsu dan dihasut oleh syaitan akan diikuti. Cinta buta oleh orang yang buta mata hatinya sanggup mengorbankan maruah, harga diri malah membunuh demi cintanya. Memang benar kata pepatah Arab, seseorang itu menjadi hamba kepada "apa" atau "siapa" yang dicintainya.

Kalau sudah cinta, kita jadi "buta" terhadap penderitaan, kesusahan dan segala keperitan demi menyukakan hati orang yang kita cintai. Oleh itu bertuah sekali jika orang atau apa yang kita cintai itu adalah orang yang baik atau sesuatu yang baik, maka kita akan menjadi hamba kepada orang yang baik dan kebaikan.

Sebaliknya, jika yang kita cintai adalah kejahatan atau orang yang jahat... kita akan diperhambai sentiasa kepada kejahatan. Firaun mati lemas kerana diperhamba kuasa. Manakala Qarun ditelan bumi akibat diperhamba harta. Dan berapa ramai negarawan, hartawan dan bangsawan yang kecundang kerana cintakan wanita?

Cinta Orang Mukmin

Orang mukmin itu sangat cinta kepada Allah. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat ke-165 : "Orang mukmin itu sangat bersangatan cintanya kepada Allah."

Justeru, cinta orang mukmin itu "buta" kepada sebarang kesusahan demi menunaikan perintah Allah. Orang mukmin rela mengorbankan segala kesukaan atau kesenangan dirinya apabila semua itu melanggar perintah Allah. Tidak ada istilah tidak apabila berdepan dengan perintah Allah. Mereka akan berpegang kepada prinsip "kami dengar, kami taat" setiap kali mereka mendengar ayat-ayat cinta (Al-Quran) yang datang daripada Allah.

Apabila berdepan dengan cinta Allah, segala cinta yang lain akan menjadi kecil dan terpinggir. Bayangkan kecintaan Rasulullah saw terhadap bapa saudaranya Abu Talib – orang yang membela dan melindunginya semasa susah dan senang. Bukan sahaja tubuh badan Rasulullah saw dipertahankan oleh Abu Talib tetapi beliau juga telah memberi kasih-sayang, perhatian, simpati dan empati yang tidak berbelah bagi kepada Nabi Muhammad saw.

Ya, Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Talib saling cinta mencintai. Bayangkan hingga ke saat-saat kematian Abu Talib, nabi Muhammad saw terus berdakwah, merayu dan membujuk agar bapa saudaranya itu beriman. Tetapi Subhanallah! Allah Maha Tahu dan Maha Berkuasa terhadap petunjuk dan hati para hamba-Nya. Hidayah milik Allah. Dan hidayah itu tidak diberikan-Nya kepada Abu Talib atas sebab-sebab yang hanya Dia yang mengetahuinya. Lalu matilah Abu Talib dalam keadaan tidak beriman...

Betapa sedihnya hati Rasulullah saw tidak dapat digambarkan lagi oleh kata-kata. Dan pada hari kematian Abu Talib, bersimpuhlah baginda dalam doa demi keselamatan ayah saudaranya yang telah pergi. Namun apa jawapan Allah? Allah menegur dan melarang baginda daripada berdoa untuk keselamatan Abu Talib. Kerana apa? Kerana Abu Talib tidak beriman. Walaupun Allah Maha mengetahui betapa cintanya Rasulullah saw... tetapi Allah mendidik hati seorang Nabi agar berkata tidak walaupun ketika hati terlalu cinta!

Begitulah jua jalur cinta yang luar biasa oleh insan-insan luar biasa sebelum diutuskan Nabi Muhammad saw. Bagaimana Nabi Nuh as, dididik oleh Allah agar berkata "tidak" ketika teringat dan merasa kasihan kepada anak dan isterinya yang derhaka. Menyusul kemudiannya Nabi Luth as yang diperintahkan meninggalkan keluarga yang tercinta tanpa boleh menoleh lagi ke belakang.

Menyusul lagi kemudiannya Nabi Ibrahim as yang pada mulanya rela berpisah dengan bapanya yang menyembah berhala, dan selepas itu rela pula menyembelih anaknya Nabi Ismail demi cintanya kepada Allah. Nabi Nuh, Luth, Ibrahim dan akhirnya Nabi Muhammad s.a.w telah berkata "tidak" kepada cinta-cinta yang lain kerana cinta mereka pada Allah. Lalu di manakah letaknya cinta kita?

Muhasabah Suami Isteri

Muhasabah kembali cinta antara suami-isteri yang mendasari dan menghiasi rumah tangga kita.... Apakah pernah cinta kita berkata, "tidak"? Ah, tanpa disedari kerap kali kehendak isteri atau suami diturutkan sahaja walaupun jelas bertentangan dengan kehendak Allah. Atau kekadang kita sudah bisu untuk menegur kesalahannya kerana terlalu sayang. Sudah ketara, tetapi masih dipandang sebelah mata. Sudah menonjol, tetapi kita pura-pura tidak nampak.

Kekadang ada isteri yang sudah semakin "toleransi" dalam hukum penutupan aurat. Malangnya, si suami biarkankan sahaja tudungnya yang semakin singkat, warnanya yang semakin garang, saiznya yang semakin sendat dan melekat... Ada masanya tangannya sudah terdedah melebihi paras yang dibenarkan, anak tudungnya telah terjulur dan helaian rambutnya sedikit berjuntaian... Itu pun masih didiamkan oleh si suami. Mengapa begitu? Mungkin kerana terlalu sayang...

Kekadang solatnya pasangan kita sudah mula culas. Tidak menepati waktu dan terlalu "ringkas" pula... Itu pun masih kita biarkan. Mungkin ketika si suami melangkah ke surau atau ke masjid, si isteri masih leka dengan aktiviti rumah yang tidak kunjung reda. Dan keutamaan menyegerakan solat tepat semakin hari semakin dipinggirkan. Pernah ditegur, tetapi mungkin kerana keletihan si isteri jadi sensitif dan merajuk. Tarik muka. Masam wajahnya. Maka suami jadi "jeran" dan mengalah untuk tidak menegur lagi. Kerana apa? Kerana sayang...

Si suami pula kekadang sudah semakin merosot pengamalan Islamnya. Kalau dulu rajin menghadiri kuliah, melazimi solat berjemaah, bersedekah dan berdakwah tetapi entah kenapa "semangat" Islamnya merudum tiba-tiba, roh dakwahnya meluntur, mula malas-malas, leka dengan program TV dan aktiviti-aktiviti yang tidak menyuburkan iman dan Islamnya... si isteri melihat dari dekat.

Itu perubahan yang membimbangkan, detik hati isteri. Ingin menegur, tapi malu. Ingin menasihati, takut dibentak. Dari sehari ke sehari kemerosotan itu dibiarkan. Akhirnya keinginan-keinginan itu menjadi dingin... biarlah dulu. Tunggulah lagi. Ah, semuanya... demi cinta!

Seakan telah dilupakan dahulu kita bernikah kerana Allah. Dihalalkan pergaulan kita antara suami isteri atas kalimah Allah. Ingat kembali kalimah syahadah dan istighfar yang diulang-ulang oleh Tok Khadi sebagai pembersihan hati dan taubat sebelum tangan dijabat untuk aku janji menerima satu amanah. Nikah diterima, ijab kabul dilafazkan dengan kehadiran wali dan saksi...dan bercintalah kita kerana Allah.

Itulah pangkal perkahwinan setiap pasangan muslim. Untuk mengekalkan cinta, relalah berkata tidak kepada kemungkaran yang dilakukan oleh pasangan kita. Berani dan tegalah berkata tidak apabila Allah dan hukum-Nya dipinggirkan oleh suami atau isteri kita.

Sayidina Abu Bakar pernah memerintahkan anaknya menceraikan isteri yang baru dikahwini oleh anaknya bila didapati anaknya itu mula culas solat berjemaah di masjid kerana leka melayani isteri barunya. Nabi Ibrahim pula pernah berkias agar anaknya Ismail menukar palang pagar rumahnya (isyarat menceraikan isterinya) apabila didapati isterinya itu tidak menghormati orang tua.

"Menghumban" Anak Ke Neraka

Jika kita undur selangkah ke belakang dalam pengamalan syariat, anak-anak akan undur sepuluh langkah ke belakang. Sedikit ibu-bapa tergelincir, terperosok anak ke dalam lubang kemungkaran. Sebab itu sering berlaku, apabila ibu tidak lengkap dalam menutup aurat anak-anak perempuannya akan lebih galak mendedahkan aurat. Lambat si bapa dalam mengerjakan solat, anak-anak akan berani pula meninggalkan solat. Sedikit ibu-bapa terpesona dengan dunia, anak-anak akan terleka dalam mencintainya!

Betapa ramai ibu-bapa yang hakikatnya "menghumban" anak mereka ke neraka kerana dibiarkan melakukan kejahatan tanpa teguran. Ada yang terlalu cintakan anak, hingga dibiarkan anak-anak tidak solat Subuh, konon katanya kasihan nanti anaknya mengantuk kerana kurang tidur. Ada pula anak-anak yang sudah besar panjang tetapi masih tidak dilatih berpuasa kerana tidak sampai hati anak-anak melihat anak-anak kelaparan dan kehausan. Apabila anak-anak pulang lewat malam, ada ibu-bapa yang begitu "sporting" berkata, "Biarlah... muda hanya sekali, biarkan mereka bersuka-suka, tumpang masih muda!"

Susah benarkah untuk melihat anak-anak, isteri atau suami bersusah-susah kerana Allah? Padahal kesusahan yang sedikit dan sementara di dunia ini adalah suatu yang lumrah demi mendapat kesenangan yang melimpah dan kekal abadi di akhirat kelak?

Jangan kita dibutakan oleh cinta nafsu kerana cinta nafsu itu bersifat melulu. Cintailah sesuatu kerana Allah, insya-Allah, cinta itu akan sentiasa celik untuk melihat kebenaran. Rela dan tegalah berkata tidak demi cinta. Cintalah Allah dan selalu menjaga hukum-hakam-Nya. Bila cinta kita kerana yang maha Baqa (kekal), maka itulah petanda cinta kita sesama manusia akan kekal.

Marah biar kerana Allah. Justeru kemarahan kerana Allah itulah yang akan menyuburkan rasa cinta kita. Bila hak Allah diabaikan, bila hukum-hakam-Nya dipinggirkan, katakan tidak... cegahlah kemungkaran itu dengan kuasa dan dengan kata-kata. Biarkan cinta mu berkata tidak! Insya-Allah cinta itu akan kekal sampai bila-bila...