Thursday, November 25, 2010

Jangan Ditangisi Apa yang Bukan Milikmu

Dalam perjalanan hidup ini seringkali kita merasa kecewa. Kecewa sekali. Sesuatu yang luput dari genggaman, keinginan yang tidak tercapai dan kenyataan yang tidak sesuai dengan harapan.

Dan sungguh sangat beruntung andai dalam saat-saat tergoncangnya jiwa, masih ada setitik cahaya dalam kalbu untuk merenungi kebenaran. Masih ada kekuatan untuk melangkahkan kaki menuju majlis-majlis ilmu dan majlis-majlis zikir yang akan memberikan ketenteraman jiwa.

Hidup ini ibarat belantara. Tempat kita mengejar pelbagai keinginan dan impian. Dan memang manusia diciptakan mempunyai kehendak serta mempunyai keinginan. Tetapi bukan semua yang kita inginkan dapat dicapai. Sesungguhnya tidak mudah menyedari bahawa apa yang bukan menjadi hak kita tak perlu kita tangisi. Banyak orang yang tidak sedar bahawa hidup ini tidak punya satu hukum: harus berjaya, harus bahagia atau harus-harus yang lain.

Betapa banyak orang yang berjaya tetapi lupa bahawa hakikatnya semua itu pemberian Allah sehingga membuatnya sombong dan bertindak sewenang-wenangnya. Begitu juga kegagalan sering tidak dihadapi dengan betul. Padahal dimensi tauhid dari kegagalan adalah tidak tercapainya apa yang memang bukan hak kita. Padahal hakikat kegagalan adalah tidak terengkuhnya apa yang memang bukan hak kita.

Apa yang memang menjadi milik kita di dunia, samada rezeki, jawatan atau kedudukan, pasti Allah akan berikan. Tetapi apa yang memang bukan milik kita, kita tidak akan mampu miliki; walaupun ia nyaris menghampiri kita atau meskipun kita bermati-matian berusaha mendapatkannya.

"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.." (Surah Al-Hadid: 22-23)

Maka sudahlah, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu!

terang mlm kerna bulan...

Seorang suami pernah meluahkan rasa hatinya kepada saya. Yakni tentang gangguan perasaan yang dialaminya. Dia diusik kenangan lama apabila bertemu dengan bekas kekasihnya semula. Entah kenapa perasaan cinta mereka seakan berputik kembali.

"Kami terlalu cinta. Malangnya kami tidak ada jodoh. Kami terpaksa berpisah dan kemudiannya menemui jodoh masing-masing."

Dia mengadu setelah hampir sepuluh tahun, tidak sangka hatinya masih berbunga cinta. Dan ajaibnya cinta, ia tidak mengenal usia. Sedangkan kini dia sudah punya dua orang anak dan bekas kekasihnya pun ada seorang anak. Masing-masing sudah punya keluarga.

"Apa masalahnya?" tanya saya seperti sukar memahaminya.

Dia kemudian mengakuinya bahawa bekas kekasihnya pun rupa-rupanya juga masih mencintainya.

Cinta bukan Tuhan, itulah jawapan pendek yang saya berikan padanya. Saya tegaskan tidak semua kehendak cinta mesti kita patuhi. Bila cinta melanggar batas-batas rasional, nilai-nilai kemanusiaan dan yang paling utama melanggar syariat, kehendaknya mesti dihentikan.

Saya ingatkan kepadanya, pertimbangkanlah bagaimana nasib isteri dan anak-anaknya nanti jika kehendak cinta yang "gila" itu dipenuhi. Pergi memburu cinta yang tidak pasti, lalu meninggalkan anak-anak dan isteri yang diamanahkan Allah... Berbaloikah?

Dan yang paling utama, bagaimana pula hukum Allah yang akan dilanggar jika hubungan terlarang (haram) itu diteruskan?

Mencinta isteri dan suami orang adalah haram. Curang itu khianat. Khianat itu adalah antara ciri kemunafikan.

Ya, cinta memang buta, tetapi orang yang bercinta (lebih-lebih lagi orang beriman) jangan pula sampai buta mata hati untuk mengawal dan mengendalikan rasa cinta. Demi cinta sanggup berdosa? Demi cinta sanggup menempah neraka? Fikir dan zikirkanlah (ingatkanlah)!

Malangnya, begitulah realitinya kini. Cinta dimartabatkan terlalu agung dan disanjung membumbung... Demi cinta segala-galanya berani diterjah dan sanggup diredah. Tidak percaya? Bacalah masalah-masalah masyarakat yang dipaparkan di dada akhbar atau majalah. Isteri jatuh cinta pada suami orang. Suami jatuh cinta kepada wanita lain dan rela meminggirkan isteri sendiri. Bila ditanya kenapa? Kebanyakannya menjawab, "apa boleh buat, kami sudah jatuh cinta!"

Inilah gara-gara dan bahananya menonton filem cinta versi Bollywood, Hollywood atau filem-filem "yang sewaktu dengannya". Inilah impak lagu-lagu cinta yang menyumbat telinga dan menyempitkan jiwa. Secara tidak sedar filem-filem dan lagu-lagu itu telah menawan "akal bawah sedar" sesetengah masyarakat, bukan sahaja remaja, bahkan "retua" hingga sanggup menobatkan cinta sebagai Tuhan dalam kehidupan.

Lihat sahaja bagaimana hero dan heroin dalam filem-filem tersebut sanggup melepasi apa jua halangan demi penyatuan cinta mereka. Pengorbanan demi cinta disanjung dan dipuja walaupun jelas melanggar tatasusila dalam beragama. Kerap kali ibu-bapa dipinggirkan, kononnya kerana menghalang kehendak cinta. Apa sahaja plot dan klimaks cerita, cinta akan dimenangkan. Seolah-olah tujuan hidup manusia hanya semata-mata untuk cinta!

Mari kita renung sejenak. Cuba tanyakan siapakah yang mengurniakan rasa cinta di dalam hati setiap manusia? Tentu sahaja jawabnya ialah Allah. Allah mencipta manusia, hati, akal dan perasaannya. Cinta itu fitrah yang dikurniakan Allah pada setiap hati. Lalu kita tanyakan lagi untuk apakah Allah berikan naluri cinta ini?

Untuk Apa Manusia Diciptakan?

Untuk mengetahui apa tujuan cinta kita perlu kembali kepada persoalan asas, untuk apa manusia dijadikan? Ini adalah kerana semua yang diberikan Allah kepada manusia adalah untuk memudahkan manusia menjalankan tujuan ia diciptakan oleh Allah. Apakah tujuan Allah menciptakan manusia? Tidak lain, hanya untuk menjadi hamba Allah dan khalifah di muka bumi ini.

Ini ditegaskan sendiri oleh Allah melalui firman-Nya:

"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menjadi hamba (beribadah) kepada-Ku." (Surah Al Dhariyat, 51: 56)

Dan Allah menegaskan lagi:

"Kami jadikan di muka bumi manusia sebagai khalifah."

Dua tujuan penciptaan manusia ini adalah amanah yang sangat berat. Allah menegaskan lagi:

"Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, namun semuanya enggan memikul amanat itu kerana mereka khuatir mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu tersangat zalim dan jahil." (Surah Al Ahzab, 72)

Sebagai hamba Allah, manusia perlu mengabdikan dirinya kepada Allah setiap masa, ketika dan di mana sahaja. Ia perlu menjadi manusia yang baik melalui ibadah-ibadah fardu Ain yang diwajibkan secara personel oleh Allah ke atas dirinya. Dan sebagai khalifah di muka bumi, manusia perlu mengurus, mentadbir dan memakmurkan muka bumi ini berpandukan hukum-hakam Allah s.w.t. Ini adalah tanggung-jawab yang berat dan memerlukan penyertaan orang lain bersama-sama untuk dilaksanakan. Kebanyakannya amalan berbentuk fardu kifayah ini memerlukan tenaga jemaah.

Allah swt Maha Mengetahui akan kelemahan manusia. Dua tujuan yang besar penciptaan manusia itu tidak boleh dipikul secara bersendirian. Justeru, awal-awal lagi manusia wujud secara "co-existance" (ujud secara bersama). Kebersamaan ini sangat perlu untuk memberi kekuatan bagi memikul tujuan hidup yang sangat besar dan berat itu. Dan titik awal perpaduan antara seorang manusia dengan seorang manusia yang lain ialah hubungan suami-isteri yang membentuk sebuah keluarga.

Keluarga adalah nukleus yang pertama dalam hubungan sesama manusia. Daripada sebuah keluarga terbentuklah masyarakat, daripada penyatuan masyarakat terbentuklah daerah, negeri, negara dan akhirnya dunia kehidupan yang lebih besar dan luas. Lihatlah bagaimana segala bentuk perhubungan itu semuanya berasal daripada hubungan seorang lelaki (suami) dan seorang wanita (isteri).

Maha suci Allah yang menyatukan manusia dalam pakej-pakej perhubungan yang bernama keluarga, masyarakat, daerah, negeri, negara dan dunia antarabangsa. Semua itu untuk apa?

Ya, untuk bersatu bagi menjalankan peranan mereka sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi. Tugas yang berat dan mencabar itu akan terasa lebih mudah jika dipikul bersama-sama. Tanpa hubungan dan bantuan daripada orang lain, manusia tidak akan terpikul amanah yang besar itu.

Sesungguhnya, untuk memulakan tapak asas atau benih permulaan hubungan antara manusia dengan manusia itulah Allah ciptakan rasa cinta. Allah datangkan rasa rindu, sepi dan inginkan teman di dalam hati Nabi Adam. Pada hal Nabi Adam tinggal di syurga – tempat terhimpunnya segala nikmat dan keindahan.

Namun, tanpa seorang "teman wanita", Nabi Adam masih terasa kesepian jua. Allah jugalah yang mengurniakan rasa itu, untuk menjadi sebab terbentuk hubungan suami-isteri yang kemudiannya menjadi sebab pula lahirlah zuriat demi zuriat yang melahirkan generasi manusia.

Dan kemudian datanglah musim ujian. Cinta mereka berdua terpisah ketika "tercampak" ke alam dunia. Setelah sekian lama cinta mereka terpisah (sebagai kafarah satu kesalahan), akhirnya mereka bertemu di padang Arafah. Dan dari situlah bergabunglah jiwa, minda, perasaan dan tenaga mereka berdua untuk menjalankan peranan sebagai hamba Allah dan khalifah di dunia.

Cinta Hanya Jalan, Bukan Tujuan

Cinta itu bukan tujuan... Cinta itu hanya jalan. Cinta itu bukan matlamat, cinta itu cuma alat. Rasa ingin mencintai dan dicintai dalam diri setiap manusia pada hakikatnya adalah untuk membolehkan manusia melaksanakan tujuan ia diciptakan. Cinta itu mengikat hati antara lelaki dengan wanita untuk sama-sama membentuk ikatan perkahwinan demi menyempurnakan agama. Justeru kerana itulah Rasulullah s.a.w telah bersabda:
"Barang siapa yang berkahwin maka sempurnalah separuh agamanya, tinggal separuh lagi untuk dilaksanakan."

Cinta memang penting, tetapi ibadah dan menegakkan hukum Allah jauh lebih penting. Sayangnya, hakikat ini sangat jarang difahami dan dihayati oleh orang yang bercinta. Tujuan cinta sering dipinggirkan. Ibadah dan hukum Allah yang tinggi dan suci telah dipinggirkan hanya kerana cinta. Kononnya, cinta itu sangat suci dan tinggi.

Mungkin rasa seperti itulah yang berbunga di dalam jiwa si suami yang diimbau nostalgia cinta lama oleh bekas kekasihnya yang saya sebut pada awal tulisan ini. Kerana cinta, terdetik dalam hatinya untuk bersama bekas kekasih walaupun terpaksa mengorbankan anak dan isterinya. Mungkin rasa cinta itulah juga yang menyebabkan ramai wanita mengorbankan kehormatan diri kepada kekasih hati demi membuktikan ketulusan cintanya. Mungkin kerana itulah juga seorang anak sanggup berpisah dengan ibu-bapanya demi memburu cinta.

Bertuhankan cinta samalah bertuhankan hawa nafsu. Bila tujuan suci dan hakiki dipinggirkan, timbullah tujuan keji dan ilusi sebagai ganti. Sering terjadi nafsu seks dijadikan tujuan di sebalik rasa cinta. Cinta yang berbaur dengan kehendak seks inilah yang pernah dikecam oleh Al Farabi dengan katanya:

"Cinta yang berlandaskan nafsu seks adalah cinta yang diilhamkan oleh Tuhan kepada haiwan!"

Ironinya, ada yang berkata, "lelaki memberi cinta untuk mendapatkan seks. Wanita memberi seks untuk mendapatkan cinta."

Eksploitasi dan manipulasi cinta ini tidak akan memberi kebahagiaan kepada sesiapa – baik kepada lelaki mahupun kepada wanita. Lelaki yang mendapat seks dengan memperalatkan cinta, tidak akan pernah puas. Kehendak nafsu tidak terbatas dan tidak akan pernah puas. Melayani nafsu, umpama minum air laut... semakin diminum, semakin haus.

Manakala wanita yang memberi seks, kononnya untuk mendapat cinta, tidak akan mendapat cinta yang sejati. Mereka hanya akan menemui kasanova dan lelaki hidung belang yang hanya cinta sebelum dapat apa yang diidamkan, tetapi tunggulah sebaik sahaja habis manis sepahnya dibuang. Wanita-wanita malang ini bukan hanya kehilangan cinta, tetapi hilang maruah, kehormatan dan harga diri.

Letakkanlah cinta sebagai alat untuk beribadah kepada Allah. Wujudkanlah rumah tangga bahagia yang menjadi wadah tertegaknya kalimah Allah.

SYURGA RUMAHTANGGA

Binalah rumah-tangga di tapak iman
Tuluskan niat luruskanlah matlamat
Suami pemimpin arah tujuan
Isteri pembantu sepanjang jalan
Lalu mulakanlah kembara berdua
Kerana dan untuk... Allah jua

Di tapak iman dirikanlah hukum Tuhan
Iman itu tujuan Islam itu jalan
tempat merujuk segala kekusutan
tempat mencari semua penyelesaian
rumah jadi sambungan madrasah
berputiklah mawaddah...
berbuahlah rahmah

Inilah kunci kebahagiaan rumah-tangga
setia dan penyayang seorang suami
cinta dan kasih seorang isteri
Lalu berbuahlah mahmudah demi mahmudah
lahirlah zuriat yang soleh dan solehah!

Saturday, November 13, 2010

Biarkan Cintamu Berkata Tidak!

Kerap diungkapkan, cinta itu buta?Apakah benar cinta itu buta? Apakah cinta orang beriman juga buta? Kalau buta yang dimaksudkan itu tidak mampu lagi melihat mana yang hak, yang mana batil, tentulah cinta orang yang beriman tidak buta.

Tidak! Cinta yang suci tidak buta. Orang beriman tetap celik walaupun sedang dilamun bercinta. Mereka masih tahu dan mampu melihat serta menilai yang mana baik, yang mana buruk, yang mana halal dan yang mana haram sewaktu bercinta.

Namun sekiranya buta yang dimaksudkan tidak nampak lagi segala kesusahan demi mendekatkan diri kepada yang dicintainya (Allah)... ya, cinta orang beriman memang buta. Orang yang beriman tidak nampak lagi ranjau duri untuk mendekatkan diri kepada Ilahi.

Pernah Sayidina Abu Bakar r.a. pernah berkata kepada anaknya, "jika aku menemui mu dalam perang Badar dahulu, aku sedikit pun tidak teragak-agak untuk membunuh mu!"

Mus'ab bin Umair pula pernah berkata kepada ibunya, "jika ibu punya 100 nyawa dan nyawa itu keluar satu persatu, saya tidak akan meninggalkan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad."

Ya, cinta orang beriman itu buta. Tetapi bukan buta melulu. Yang buta melulu hanyalah cinta orang yang lemah iman. Cinta itu telah dikotori oleh kehendak nafsu dan bujukan syaitan. Apa sahaja yang disuruh oleh nafsu dan dihasut oleh syaitan akan diikuti. Cinta buta oleh orang yang buta mata hatinya sanggup mengorbankan maruah, harga diri malah membunuh demi cintanya. Memang benar kata pepatah Arab, seseorang itu menjadi hamba kepada "apa" atau "siapa" yang dicintainya.

Kalau sudah cinta, kita jadi "buta" terhadap penderitaan, kesusahan dan segala keperitan demi menyukakan hati orang yang kita cintai. Oleh itu bertuah sekali jika orang atau apa yang kita cintai itu adalah orang yang baik atau sesuatu yang baik, maka kita akan menjadi hamba kepada orang yang baik dan kebaikan.

Sebaliknya, jika yang kita cintai adalah kejahatan atau orang yang jahat... kita akan diperhambai sentiasa kepada kejahatan. Firaun mati lemas kerana diperhamba kuasa. Manakala Qarun ditelan bumi akibat diperhamba harta. Dan berapa ramai negarawan, hartawan dan bangsawan yang kecundang kerana cintakan wanita?

Cinta Orang Mukmin

Orang mukmin itu sangat cinta kepada Allah. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat ke-165 : "Orang mukmin itu sangat bersangatan cintanya kepada Allah."

Justeru, cinta orang mukmin itu "buta" kepada sebarang kesusahan demi menunaikan perintah Allah. Orang mukmin rela mengorbankan segala kesukaan atau kesenangan dirinya apabila semua itu melanggar perintah Allah. Tidak ada istilah tidak apabila berdepan dengan perintah Allah. Mereka akan berpegang kepada prinsip "kami dengar, kami taat" setiap kali mereka mendengar ayat-ayat cinta (Al-Quran) yang datang daripada Allah.

Apabila berdepan dengan cinta Allah, segala cinta yang lain akan menjadi kecil dan terpinggir. Bayangkan kecintaan Rasulullah saw terhadap bapa saudaranya Abu Talib – orang yang membela dan melindunginya semasa susah dan senang. Bukan sahaja tubuh badan Rasulullah saw dipertahankan oleh Abu Talib tetapi beliau juga telah memberi kasih-sayang, perhatian, simpati dan empati yang tidak berbelah bagi kepada Nabi Muhammad saw.

Ya, Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Talib saling cinta mencintai. Bayangkan hingga ke saat-saat kematian Abu Talib, nabi Muhammad saw terus berdakwah, merayu dan membujuk agar bapa saudaranya itu beriman. Tetapi Subhanallah! Allah Maha Tahu dan Maha Berkuasa terhadap petunjuk dan hati para hamba-Nya. Hidayah milik Allah. Dan hidayah itu tidak diberikan-Nya kepada Abu Talib atas sebab-sebab yang hanya Dia yang mengetahuinya. Lalu matilah Abu Talib dalam keadaan tidak beriman...

Betapa sedihnya hati Rasulullah saw tidak dapat digambarkan lagi oleh kata-kata. Dan pada hari kematian Abu Talib, bersimpuhlah baginda dalam doa demi keselamatan ayah saudaranya yang telah pergi. Namun apa jawapan Allah? Allah menegur dan melarang baginda daripada berdoa untuk keselamatan Abu Talib. Kerana apa? Kerana Abu Talib tidak beriman. Walaupun Allah Maha mengetahui betapa cintanya Rasulullah saw... tetapi Allah mendidik hati seorang Nabi agar berkata tidak walaupun ketika hati terlalu cinta!

Begitulah jua jalur cinta yang luar biasa oleh insan-insan luar biasa sebelum diutuskan Nabi Muhammad saw. Bagaimana Nabi Nuh as, dididik oleh Allah agar berkata "tidak" ketika teringat dan merasa kasihan kepada anak dan isterinya yang derhaka. Menyusul kemudiannya Nabi Luth as yang diperintahkan meninggalkan keluarga yang tercinta tanpa boleh menoleh lagi ke belakang.

Menyusul lagi kemudiannya Nabi Ibrahim as yang pada mulanya rela berpisah dengan bapanya yang menyembah berhala, dan selepas itu rela pula menyembelih anaknya Nabi Ismail demi cintanya kepada Allah. Nabi Nuh, Luth, Ibrahim dan akhirnya Nabi Muhammad s.a.w telah berkata "tidak" kepada cinta-cinta yang lain kerana cinta mereka pada Allah. Lalu di manakah letaknya cinta kita?

Muhasabah Suami Isteri

Muhasabah kembali cinta antara suami-isteri yang mendasari dan menghiasi rumah tangga kita.... Apakah pernah cinta kita berkata, "tidak"? Ah, tanpa disedari kerap kali kehendak isteri atau suami diturutkan sahaja walaupun jelas bertentangan dengan kehendak Allah. Atau kekadang kita sudah bisu untuk menegur kesalahannya kerana terlalu sayang. Sudah ketara, tetapi masih dipandang sebelah mata. Sudah menonjol, tetapi kita pura-pura tidak nampak.

Kekadang ada isteri yang sudah semakin "toleransi" dalam hukum penutupan aurat. Malangnya, si suami biarkankan sahaja tudungnya yang semakin singkat, warnanya yang semakin garang, saiznya yang semakin sendat dan melekat... Ada masanya tangannya sudah terdedah melebihi paras yang dibenarkan, anak tudungnya telah terjulur dan helaian rambutnya sedikit berjuntaian... Itu pun masih didiamkan oleh si suami. Mengapa begitu? Mungkin kerana terlalu sayang...

Kekadang solatnya pasangan kita sudah mula culas. Tidak menepati waktu dan terlalu "ringkas" pula... Itu pun masih kita biarkan. Mungkin ketika si suami melangkah ke surau atau ke masjid, si isteri masih leka dengan aktiviti rumah yang tidak kunjung reda. Dan keutamaan menyegerakan solat tepat semakin hari semakin dipinggirkan. Pernah ditegur, tetapi mungkin kerana keletihan si isteri jadi sensitif dan merajuk. Tarik muka. Masam wajahnya. Maka suami jadi "jeran" dan mengalah untuk tidak menegur lagi. Kerana apa? Kerana sayang...

Si suami pula kekadang sudah semakin merosot pengamalan Islamnya. Kalau dulu rajin menghadiri kuliah, melazimi solat berjemaah, bersedekah dan berdakwah tetapi entah kenapa "semangat" Islamnya merudum tiba-tiba, roh dakwahnya meluntur, mula malas-malas, leka dengan program TV dan aktiviti-aktiviti yang tidak menyuburkan iman dan Islamnya... si isteri melihat dari dekat.

Itu perubahan yang membimbangkan, detik hati isteri. Ingin menegur, tapi malu. Ingin menasihati, takut dibentak. Dari sehari ke sehari kemerosotan itu dibiarkan. Akhirnya keinginan-keinginan itu menjadi dingin... biarlah dulu. Tunggulah lagi. Ah, semuanya... demi cinta!

Seakan telah dilupakan dahulu kita bernikah kerana Allah. Dihalalkan pergaulan kita antara suami isteri atas kalimah Allah. Ingat kembali kalimah syahadah dan istighfar yang diulang-ulang oleh Tok Khadi sebagai pembersihan hati dan taubat sebelum tangan dijabat untuk aku janji menerima satu amanah. Nikah diterima, ijab kabul dilafazkan dengan kehadiran wali dan saksi...dan bercintalah kita kerana Allah.

Itulah pangkal perkahwinan setiap pasangan muslim. Untuk mengekalkan cinta, relalah berkata tidak kepada kemungkaran yang dilakukan oleh pasangan kita. Berani dan tegalah berkata tidak apabila Allah dan hukum-Nya dipinggirkan oleh suami atau isteri kita.

Sayidina Abu Bakar pernah memerintahkan anaknya menceraikan isteri yang baru dikahwini oleh anaknya bila didapati anaknya itu mula culas solat berjemaah di masjid kerana leka melayani isteri barunya. Nabi Ibrahim pula pernah berkias agar anaknya Ismail menukar palang pagar rumahnya (isyarat menceraikan isterinya) apabila didapati isterinya itu tidak menghormati orang tua.

"Menghumban" Anak Ke Neraka

Jika kita undur selangkah ke belakang dalam pengamalan syariat, anak-anak akan undur sepuluh langkah ke belakang. Sedikit ibu-bapa tergelincir, terperosok anak ke dalam lubang kemungkaran. Sebab itu sering berlaku, apabila ibu tidak lengkap dalam menutup aurat anak-anak perempuannya akan lebih galak mendedahkan aurat. Lambat si bapa dalam mengerjakan solat, anak-anak akan berani pula meninggalkan solat. Sedikit ibu-bapa terpesona dengan dunia, anak-anak akan terleka dalam mencintainya!

Betapa ramai ibu-bapa yang hakikatnya "menghumban" anak mereka ke neraka kerana dibiarkan melakukan kejahatan tanpa teguran. Ada yang terlalu cintakan anak, hingga dibiarkan anak-anak tidak solat Subuh, konon katanya kasihan nanti anaknya mengantuk kerana kurang tidur. Ada pula anak-anak yang sudah besar panjang tetapi masih tidak dilatih berpuasa kerana tidak sampai hati anak-anak melihat anak-anak kelaparan dan kehausan. Apabila anak-anak pulang lewat malam, ada ibu-bapa yang begitu "sporting" berkata, "Biarlah... muda hanya sekali, biarkan mereka bersuka-suka, tumpang masih muda!"

Susah benarkah untuk melihat anak-anak, isteri atau suami bersusah-susah kerana Allah? Padahal kesusahan yang sedikit dan sementara di dunia ini adalah suatu yang lumrah demi mendapat kesenangan yang melimpah dan kekal abadi di akhirat kelak?

Jangan kita dibutakan oleh cinta nafsu kerana cinta nafsu itu bersifat melulu. Cintailah sesuatu kerana Allah, insya-Allah, cinta itu akan sentiasa celik untuk melihat kebenaran. Rela dan tegalah berkata tidak demi cinta. Cintalah Allah dan selalu menjaga hukum-hakam-Nya. Bila cinta kita kerana yang maha Baqa (kekal), maka itulah petanda cinta kita sesama manusia akan kekal.

Marah biar kerana Allah. Justeru kemarahan kerana Allah itulah yang akan menyuburkan rasa cinta kita. Bila hak Allah diabaikan, bila hukum-hakam-Nya dipinggirkan, katakan tidak... cegahlah kemungkaran itu dengan kuasa dan dengan kata-kata. Biarkan cinta mu berkata tidak! Insya-Allah cinta itu akan kekal sampai bila-bila...

Sunday, November 7, 2010

Kerana Di Situlah Keindahan Hidup

Sering saya ungkapkan takdir sentiasa mengatasi tadbir. Justeru takdir itu daripada Allah Yang Maha Perkasa manakala tadbir daripada manusia yang lemah tidak berdaya. Namun itu bukan bererti kita lemah dan pasrah... jadi "Jabariah" dalam hidup itu. Atau mengaku super hingga terjebak dalam "Qadariah" ketika merasakan diri bebas daripada ikatan Allah.

Kita umat pertengahan – ahli sunnah yang gigih mengatur sebaik tadbir, sekali gus menghulur setulus doa untuk dikurniakan Allah sebaik takdir!

Sejak awal tahun lagi saya ditakdirkan banyak bersama remaja. Daripada anak-anak sendiri, mahasiswa IPTA dan IPTS , ekskutif, usahawan sehinggalah pengacara TV. Banyak yang saya sampaikan dan banyak juga yang saya belajar. Saya bersyukur kerana jiwa jadi lebih dinamik dan bertenaga ketika diterjah oleh pelbagai persoalan oleh mereka. Antara soalan yang kerap ditanyakan ialah apa yang hendak kita lakukan apabila ada sahaja yang tidak kena dalam hidup ini.

Ada ketika-ketikanya, kita terasa apa yang dibuatnya serba tidak kena. Pada hari, minggu atau bulan yang malang itu, kecelakaan seolah-olah datang timpa menimpa. Bagun Subuh lewat, baca Quran luput, solat resah, dimarahi oleh bos, duit gaji lambat, bergaduh dengan kawan, tayar motosikal meletup dan macam-macam lagi. Jadi, kalau demikian halnya, apa yang sebenarnya tidak kena? Dan bagaimana hendak membetulkan keadaan? Hendak bermula dari mana? Wah, pening kepala dibuatnya.

Ubah keadaan luaran atau ubah diri sendiri?

Mungkin anda juga pernah mengalami situasi begini, dan tentu sahaja kita tercari-cari panduan bagaimana hendak membetulkan semula semua keadaan yang bercelaru itu? Dalam apa jua keadaan, remaja hendaklah faham bahawa bila keadaan tidak seperti yang diingini, langkah kita bukanlah mengubah keadaan itu tetapi terlebih dahulu mengubah diri kita sendiri. Ramai orang tersilap, justeru mereka hendak mengubah keadaan luaran sebelum mengubah diri sendiri. Sunahtullahnya tidak begitu.

Dalam apa jua kondisi, mengubah diri itu perlu diutamakan kerana itulah yang akan mengubah keadaan yang kita hadapi. Jadi, apabila berdepan dengan masalah kewangan, dimarah ayah-ibu, tayar motor yang meletup, bergaduh dengan kawan-kawan... hendaklah diingat, ubahlah diri kita sebelum cuba mengubah perkara-perkara yang di luar diri kita. Pertama, remaja perlulah memahami bahawa kehidupan ini disusun dengan satu peraturan yang sangat rapi dan saling berkait rapat antara satu sama lain. Peraturan ini dinamakan Sunnatullah. Barat menamakannya 'law of nature'. Hukum Sunnatullah ini juga dikenali sebagai 'cause and effect' (sebab dan akibat). Hukum ini bukan sahaja berlaku dalam bidang fizik, biologi, ekonomi dan lain-lain.

Malah ia juga berlaku dalam putaran kehidupan. Allah swt telah mengaturkan bahawa setiap akibat yang berlaku mesti mempunyai sebab atau punca. Jika seseorang itu bersedih, tentu terdapat sebab-sebab yang menyebabkan dia bersedih. Jika dia gembira, tentu terdapat sebab-sebab yang menyebabkan kegembiraan itu. Oleh itu jika kita dapati kehidupan kita seperti serba tidak kena, maka hendaklah kita akui bahawa mesti terdapat sesuatu sebab yang menyebabkan keadaan yang serba tidak kena itu. Sebelum mencari di mana penyebabnya, kita hendaklah terlebih dahulu mengakui akan ujudnya penyebab itu.

Membuang sikap ego

Tidak mungkin kita akan menemui sesuatu yang kita cari jika kita menafikan akan kewujudannya. Jadi, langkah awal mengubat sesuatu yang tidak kena ini ialah membuang sikap ego. Maksud ego di sini ialah kita mengatakan atau menganggap tiada 'penyebab-penyebab' pada keadaan yang serba tidak kena itu. Ramai antara kita yang merasa ego, dengan berkata, "entahlah... saya tidak tahu apa yang tidak kena lagi, semuanya sudah saya lakukan, tapi gagal juga. Dah nasib..." Atau ada yang berkata, " tak mungkin jadi begini, semuanya sudah ok sejak mula, tiba-tiba sahaja jadi begini?"

Cakap-cakap yang seumpama ini sungguhpun biasa kita dengar namun, jika diteliti ia jelas bermaksud yang penuturnya seolah-olah tidak mahu mengakui ada kesalahan yang menyebabkan sesuatu yang negatif berlaku. Ada juga orang yang mengakui adanya penyebab-penyebab tertentu tetapi penyebab itu adalah orang lain. Bukan dirinya. Ini juga satu petanda ego. "Saya tidak salah, yang salah bapa saya, kawan saya, motor saya..." Ketahuilah, sikap reaktif ini tidak akan menyelesaikan masalah. Bahkan akan menambah masalah. Apa yang perlu kita cari ialah kesalahan diri kita sendiri.

Kehidupan kita, pilihan kita

Kita tidak boleh terus menyalahkan orang lain di atas apa yang menimpa kita. Hidup kita adalah tanggung jawab kita justeru apa yang berlaku dalam kehidupan adalah pilihan kita sebenarnya. Orang boleh menimpakan sesuatu ke atas kita, hanya apabila kita 'mengizinkan' ia berlaku. Yang menyebabkan kita susah hati, bukan kemarahan teman-teman, tetapi apabila kita mengizinkan kemarahan teman itu menyusahkan diri kita. Secara pro-aktif, kita boleh memilih respon kita pada sebarang situasi dalam hidup... Bila dimarahi, kita boleh memilih untuk sabar dan berdiam diri, atau marah dan bertindak-balas... terpulang!

Kitalah yang menjadi penyebab utama kepada berlakunya sesuatu akibat. Kita perlu mengetahui, mengetahui dan mencari kesalahan itu dalam diri sendiri. Oleh itu, bila ditimpa masalah maka muhasabah tentang perlakuan kita di semua dimensi. Dimensi hubungan kita dengan Tuhan, manusia, pekerjaan, kewangan, kesihatan, tanggung jawab dan peranan yang telah diamanahkan bagi kita melaksanakannya. Telitilah terlebih dahulu soal-soal besar dalam hidup kita tetapi jangan lupa... soal-soal kecil juga kadangkala memberi impak besar untuk menyumbangkan sesuatu yang tidak kena dalam kehidupan.

Kecil-kecil dan beransur-ansur

Sekali lagi diingatkan, dalam mencari penyebab-penyebab atau punca-punca masalah, kita jangan hanya bertumpu mencari penyebab-penyebab yang besar. Sebaliknya carilah penyebab-penyebab yang kecil-kecil. Kita boleh umpamakan diri sebagai seseorang yang sedang berjalan. Jarang orang terjatuh akibat terlanggar batu-batu besar. Sebaliknya ramai yang terjatuh apabila terpijak batu-batu kecil, kulit pisang dan sebagainya. Penyebab-penyebab yang kecil sebenarnya boleh memberi 'impak' atau kesan yang beransur-ansur.

Kita mungkin tidak nampak atau tidak perasan pada awalnya, tetapi secara tiba-tiba sahaja keadaan sudah menjadi buruk. Ingatlah, menyelesaikan masalah harus dilakukan persis bagaimana ia bermula. Contohnya, berat badan kita tidak menambah 10 kilogram dalam jangka masa sehari dua. Tetapi ia bertambah sedikit demi sedikit. Maka, untuk mengatasi masalah berat badan itu, tindakan untuk mengurangkannya pun mesti dilakukan secara beransur-ansur.

Adalah mustahil untuk mengubahnya secara mendadak. Sesuatu yang runtuh secara beransur-ansur perlu dibina secara beransur-ansur juga. Barulah tindakan kita nanti akan berhasil. Misalnya kita menghadapi masalah bajet yang tersasar daripada apa yang ditetapkan. Kita perlu sedar bahawa kebiasaannya 'terlebih bajet' ini bukanlah disebabkan 'kebocoran' perbelanjaan yang besar-besar.

Sebaliknya ia berpunca daripada sikap tidak mengambil berat perbelanjaan yang kecil-kecil – yakni wang yang kita keluarkan untuk membeli barang-barang yang tidak perlu tetapi murah harganya secara tidak menentu masanya. Perbuatan inilah yang sebenarnya memberi kesan besar yang buruk kepada bajet kita. Tawaran harga murah pada sesuatu barang menyebabkan kita mula hilang pertimbangan dan mula membeli bukan atas dasar keperluan, tetapi sebab murahnya barangan itu.

Begitu juga buat remaja yang menghadapi masalah kegemukan. Kegemukan tidak pernah berlaku secara drastik. Ia berlaku secara beransur-ansur hingga ke satu tahap, barulah kita terkesan bahawa berat badan kita sudah 'over'. Jangan cuba mengubahnya secara mendadak. Kita pun mula bersenam secara 'maraton', menjalani skim diet yang terlalu ketat dan macam-macam lagi tindakan yang agresif dan ekstrem. Apa jadi akhirnya? Kita kecewa, kita mengalah dan akhirnya berputus asa bila melihat kesannya tidak seberapa.

Ya, segalanya perlu diubah secara perlahan-lahan, misalnya dengan mengubah cara pengambilan makanan, menukar kepada menu yang sihat dan bersenam secara ringan tetapi konsisten. Jangan sekali-kali membiarkan perut kosong pada jangka waktu yang lama, ini akan menyebabkan kita mudah mendapat penyakit ulser atau gastrik pula. Oleh itu, bertindaklah secara bijak dan beransur-ansur. Ini lebih ringan dan realistik untuk mengubah keadaan! Seperkara lagi ketika hendak memulakan sesuatu proses perubahan, jangan sesekali kita memikirkan kesempurnaan.

Kelak, kita mungkin tidak akan memulakannya langsung. Oleh itu, bermulalah dengan membuat perkara-perkara yang kecil dahulu. Untuk memperbaharui penampilan diri misalnya, janganlah diharapkan wajah, bentuk dan gaya anda seperti bintang filem dalam masa yang singkat. Anda akan kecewa jika mengimpikan kesempurnaan yang semacam itu. Sebaliknya, buatlah yang terbaik pada skala diri anda sendiri. Jangan bandingkan kita dengan orang lain secara tidak sihat.

Cuba bayangkan penampilan diri sendiri yang paling bergaya, cantik dan menarik – jadilah anda yang terbaik. Itu pun secara beransur-ansur. Jangan mengharapkan kesempurnaan, kerana ini akan membantutkan semangat anda untuk menangani masalah penampilan diri itu. Elakkan daripada cepat berputus asa dan hendak melihat hasil yang segera. Jangan naik anak-tangga secara berlari. Ada kalanya perubahan yang kita telah berbuat itu sudah pun menunjukkan kesannya, cuma ia belum kelihatan.

Konsep ini sama seperti ketika kita hendak mencairkan air batu dengan cara memanaskannya. Menurut hukum fizik, sekiranya mula memanaskannya, molekul-molekul air itu sudah pun bergerak. Tapi sedikit demi sedikit. Pada mulanya ia seakan-akan tidak ada tindak balas tetapi lama kelamaan, air batu tiba-tiba terus retak dan mula mencair. Ya, barulah kesannya nampak, walaupun sejak mula memanaskannya tadi, sebenarnya itu telah pun memberi kesan, cuma tidak nampak...

Ingat, sikap hendak melihat kesan yang cepat menyebabkan kita mudah kecewa dan patah semangat di sekerat jalan. Akhirnya, kita perlu sedar, hidup ini bagaikan satu siri gelombang yang datang secara bergilir-gilir. Ada ketikanya, gelombang kecil dan tenang dan ada ketikanya gelombang itu besar dan ganas. Pada ketika gelombang itu ganaslah, semuanya terasa serba tidak kena. Tuhan menetapkan bahawa setiap manusia itu tidak akan mendapat kesenangan sahaja atau kesusahan sahaja. Masing-masing daripada kita akan mengalami pasang-surut dalam hidup – ada masa senang, ada masa susah.

Justeru dalam kehidupan ini, kita tidak boleh terlalu gembira kerana selepas kegembiraan itu mungkin muncul kesusahan. Begitu juga kita tidak boleh terlalu sedih bila kesusahan kerana mungkin selepas itu Allah swt datangkan perkara-perkara yang menggembirakan. Kesedaran tentang hukum Sunnahtullah ini akan memberi ketenangan dalam hidup.

Apabila kita ditimpa kesusahan, rasakan dalam hari... ya, selepas ini akan datang kesenangan. Sabarlah sebentar. Dan apabila datang kesedaran, kita tetap tidak alpa... ya, selepas ini akan datang kesusahan. Bersiap-sedialah. Hakikatnya, tidak ada kesenangan dan kesusahan yang abadi di dunia ini. Kehidupan adalah satu perubahan yang berterusan...

Cabaran kita bukan untuk mengawal perubahan itu tetapi mengubah diri bagi menyesuaikan diri dalam setiap keadaan yang berubah-ubah itu. Fahamilah hakikat ini. Bila yang dibuat 'serba tidak kena' itulah hakikatnya satu kehidupan. Hidup bukanlah yang serba kena, serba senang dan serba mudah. Hidup tidak selalu indah, justeru di situlah keindahan hidup!

bdkegois

Friday, November 5, 2010

juruterbang racing...

heheheeheh..
title pn da best kn...

sbnrnye, ak tringkat kn cita2 ak mse skolah rndah dlu,
ak nk jd pilot mse tu,
cikgu plak bgtau, klu nk jd pilot kne pndai mate,
sbb tu la smpai skunk ak mnt sgt2 mate...
hehehehe

dr sekolah rndah lg ak dpt mate A kot...
mmg exited giler mse tuh...
tp lastly, ak xlyk jgk jd pilot nmpk gayanye...
emmm...xpela, jd qs pn da kira ok...
ley tau sal dunia luar...
heheheh..

xpela,
skunk ak nk hdupkn blik smgt tu...
wlaupn samar, impian ak kot...
hehehe..

tp xpe, slalunye, ape yg kite idamkn ni xsmstinye dpt kn..
mmg sukar tuk kite perolehi..
xpela, ak nk jdkn ia sbg penaik smgt ak blik tuk blaja..
insya'Allah...

bdkegois

perjalanan yg penat tp gembira...

semlm, 5/11/2010,
ak brsama 4 mmbr yg lain (wea,mane,ustaz,pendi)
g jom heboh pulau pinang...
kt stadium batu kawan, seberang perai...
mmg best giler2,
siap bley msuk tv lg kot...
sbb mase tu ade live prgram al kuliah,
pnceramah tu plak waris kpd mmbr ak,
so pe lg, ak brsame mmbr2 lain jd vip la kjp..
hehehe..
siap ley g mkn brsama crew tv3 lg kot...
best, pngalamn yg amt brmkna...

lps hbis prgram tu, kteorg pn g la melintasi jambatan trpnjng,
hehehee
raung2 dlu penang sblm brtolak blik u...
hehehe
prjalanan dr seri iskandar- p.pinang xsmpai 2jam,
lbih krng 1jam 45 mnt shj...
mmg brbaloi...
hehehehe..

dlm prjalanan blik,
snggah dlu mkn kfc kt r&r highway utara selatan..
lps tu brtolak balik....
walaupn pg jap, tp mmg puas hti...
klu ade mse ak nk g plak,
nk raung2 penang smpai puas...
hehehe

bdkegois

Wednesday, November 3, 2010

Dilema Golongan Mahasiswa Masa Kini

Dalam kesibukan menelaah buku bagi menghadapi Peperiksaan Akhir Semester yang bakal dihadapi pada beberapa minggu lagi, saya sempat mengambil kesempatan untuk mengunyah beberapa artikel tulisan beberapa professor iaitu penulisan dari Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Naib Canselor USM mengenai "Pendidikan: Mencari Kebenaran" dan penulisan daripada Professor A. Murad Merican, Pensyarah UTP mengenai "Universiti Kita Ketandusan Idea".

Penulis berasa terpanggil untuk menulis artikel yang bertajuk "Dilemma Golongan Mahasiswa".

Walaupun masih tertalu muda untuk mengasah pena, namun tidak salah rasanya untuk penulis memuntahkan pendapat bagi santapan golongan muda khususnya mahasiswa yang berfungsi sebagai serampang dua mata;

Sebagai membuka minda masyarakat dan sekali gus mengeluarkan pendapat daripada terus dibiarkan menjadi perkasam dalam pemikiran.

Siapa Dia Mahasiswa?

Mahasiswa seperti yang diketahui umum adalah panggilan orang yang sedang menjalani pendidikan tinggi di universiti atau perguruan tinggi.

Mahasiswa Universiti tempatan kita rata-rata berusia 18 hingga 25 tahun.

Mereka termasuk dalam kategori belia menurut Akta Pertubuhan Belia 2007 yang menyatakan bahawa Belia merupakan mereka yang berumur diantara 15 hingga 40 tahun.

Di negara luar, mereka dilayan seperti orang dewasa yang lain.

Akan tetapi belia akan kehilangan beberapa hak yang dinikmati oleh belia yang lain secara automatik sebaik sahaja mendaftakan diri sebagai mahasiswa.

Antara hak-hak tersebut ialah melibatkan diri dalam parti politik. Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 yang berbunyi:

15(5) Tiada seorang pun pelajar Universiti dan Tiada pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, dibawah atau mengikut Perlembagaannya, boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan atau bangkangan terhadap Mana-mana parti politik sama ada di dalam atau di luar Malaysia.

Cabaran Mahasiswa Kini

Pada masa ini, ramai orang menganggap golongan mahasiswa tidak mempunyai kepedulian politik dan isu semasa.

Berbanding dengan mahasiswa zaman 1960-an dan 1970-an, memang mahasiswa pada hari ini nampak lebih akur dengan pihak berkuasa.

Golongan mahasiswa kini turut menghadapi pelbagai cabaran yang rumit.

Hal ini termasuklah sistem pendidikan kita yang caca merba; ekonomi upah rendah; polarisasi kaum; penolakan terhadap konsep berkhidmat untuk masyarakat; dan kekurangan pemimpin muda yang beribawa.

Kemelut melanda demokrasi kita sejak 1980-an di samping cengkaman pemerintahan autoritarian telah menyebabkan ramai anak muda negara kita sinis, malah kecewa dengan politik.

Berikutan kurangnya saluran sesuai untuk mereka menyuarakan pandangan mereka, menerusi undang-undang seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti serta akta 174 melemahkan lagi golongan yang sepatutnya menjadi penggerak politik semula jadi.

Itulah sebabnya mengapa mereka bersikap tidak kisah bermaharajalela.

Lebih menyedihkan lagi ialah kekurangan pemimpin muda yang beribawa dan kesedaran politik dalam kalangan generasi muda Malaysia.

Masalah kepimpinan muda ini berpunca daripada kempimpinan pemuda parti politik yang sering menjadi alat bagi wang dan kuasa, bukannya platform aktivivisme tulen.

Kurangnya kesedaran politik pula menghalang generasi muda menjadi suara dan kuasa dalam politik negara.

Dengan cabaran-cabaran ini, kita boleh memahami mengapa ramai yang pesimis terhadap masa hadapan golongan mahasiswa kita.

Tetapi, janganlah perkecilkan potensi mereka untuk membuat perubahan.

Mari kita ungkap, mari kita singkap kembali sejarah perubahan yang telah dibawakan oleh mahasiswa.

Mahasiswa Dalam Lipatan Sejarah

Dalam sejarah, mahasiswa dari pelbagai negara mempunyai peranan penting dalam sejarah sesuatu negara.

Fakta kes pertama, mahasiswa di negara kita dalam menyertai demonstrasi Baling pada tahun 1974 dimana melibatkan ribuan mahasiswa berhimpun bagi menyertai demonstrasi tersebut.

Pada Ketika itu satu gerakan pelajar telah menyatakan pandangan dan bantahan ke atas apa yang berlaku.

Dalam sejarah, gerakan inilah merupakan gerakan terbesar dan perhimpunan ini dinamakan sebagai 'Perhimpunan Mahasiswa Raksasa'.

Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telahpun dirangka awal pada tahun 1971 tetapi peruntukan undang-undang dalam akta tersebut tidak cukup ketat bagi mengekang gerakan mahasiswa pada ketika itu dan ia merupakan salah satu alasan untuk meminda akta tersebut pada tahun 1975.

Dalam sejarah Negara Indonesia pula, Mahasiswa telah mencatatkan sejarah dalam demonstrasi mendesak kepimpinan Presiden Soeharto untuk menurun tahta.

Demonstrasi demi demonstrasi yang dianjurkan oleh mahasiswa dan penawanan bangunan parlimen akhirnya berjaya menumbangkan regim kuku besi Soeharto dan akhirnya pada 21 Mei 1998, Soeharto akhirnya tunduk kepada kehendak rakyat dengan perletakan kuasa selepas memerintah Republik Indonesia selama 32 tahun.

Parti Rakyat Demokratik (PRD) yang ditubuhkan oleh mahasiswa dan anak muda tekah memainkan peranan penting dalam menjatuhkan Arwah Soeharto.

PRD turut bertanding dalam pilihanraya 1999.

Di negara yang terkenal dengan produk-produk seperti LG, Hyundai, samsung dan drama romantis oleh rakyat di negara kita iaitu Korea Selatan, Mahasiswa di negara tersebut juga memainkan peranan mereka dalam peristiwa di Gwangju pada 30 tahun yang lalu.

Di ManaJeneral Chun Doo Hwan merampas tampuk kuasa melalui dan mengamalkan pemerintahan diktator.

Kira-kira 100 orang mahasiswa dari Universiti Kebangsaan Chonnam berarak menuju ke pintu pagar universiti tersebut yang di kepung oleh tentera.

Mereka membantah tindakan tentera mengambil alih universiti tersebut.

Peristiwa kebangkitan Gwangju menjadi inspirasi kepada pergerakan prodemokrasi di seluruh negara.

Presiden Akhirnya Jeneral Chun Doo Hwan akhirnya terpaksa tunduk kepada Kebangkitan rakyat dan Presiden Roh Tae Woo mengambil alih tempat tersebut.

Dalam melihat hal ini, penulis suka untuk merujuk kepada sebuah buku lama yang diterbitkan pada 1969 oleh Prof Faeur dari Universiti Toronto dalam bukunya The Conflict of Genegration - The Character and Significant of the Student Movement, menyatakan bahawa protes dan bantahan yang ditunjukkan oleh mahasiswa adalah hasil daripada 'konflik generasi' atau Generational Conflict.

Hal ini berpunca daripada perasaan benci atau menyampah 'Generasi Baru' kepada 'Generasi Lama', yang disifatkan tidak bermoral, peradaban yang rosak, lapok, penyalah gunaan kuasa, tidak bertanggungjawab dan melakukan penindasan serta kotor.

Istilah 'Generasi di sini adalah sesuatu yang subjektif, dimana ia mungkin boleh merangkumi universiti, pihak berkuasa, kerajaan atau mungkin masyarakat itu sendiri yang telah rosak peradabannya.

Menghayati sejarah bererti bukan disimpan di dalam peti muzium untuk kenang-kenangan, tetapi sejarah adalah coretan untuk membina sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang.

Mahasiswa seharusnya berasa jelek dengan perkataan 'senyap'.

Bersikap apologia dengan 'berdiam diri' dan 'berpeluk tubuh' melihat kecelakaan berlaku kepada umat.

Kalau mahu diteruskan dengan sikap itu, jangan sama sekali mengambil amanah sebagai mahasiswa.

Kekuatan kepimpinan negara masa hadapan adalah terletak ditangan generasi Mahasiswa pada hari ini.

Jika Mahasiswa yang dihasilkan hanya bersifat 'Ayam Daging' yang bersedia disembelih pada bila-bila masa, pasti negara juga akan bersedia dilapah pada masa akan datang.

Dalam aspek ini, penulis bersetuju dengan apa yang diungkapkan oleh Prof Diraja Ungku Aziz, Kepimpinan akan lahir daripada mahasiswa yang 'terpelajar' dan mencabar.

Secara tuntasnya, Mahasiswa merupakan orang yang intelek dan mempunyai 'critical thinking' dalam memikirkan keadaan dan isu semasa kini.

Dalam mendepani zaman, kita tidaklah seharusnya meninggalkan sejarah yang lalu di mamah usia.

Kita unggkap kembali peranan mahasiswa dan golongan belia dalam proses pendemokrasian negara luar, proses menuntut keadilan sejagat dan juga keadilan sosial.

Sememangnya penulis akui bahawa peranan mahasiswa amat penting bagi memacu negara kearah negara yang maju, moden dan berpendapatan tinggi.

Penulis ingin memetik kata-kata Professor Doktor Yusuf Qardhawi, sarjana pemikir tersohor mengenai belia, "Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan,lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur "بَلْدَةٌُطَيِّبَةٌوَرَبٌّ غَفُوْرٌ", tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yangakan berlaku."